CERITA

MARILAH MEMBACA......

   

KISAH TELADAN / NASIHAT : Anak Yang Soleh
Pada masa dahulu ada seorang pemuda yang bernama Ra'i. Kerjanya setiap hari adalah mengembala kambing. Setiap hari apabila dia pulang ke rumah ia akan memerah susu kambing untuk dihidangkan kepada orang tuanya dan sesudah orang tuanya minum, barulah susu kambing yang selebihnya diberikan kepada anak-anak dan isterinya.
Pada suatu hari Ra'i membawa kambingnya jauh daripada tempat biasa.Dia terlambat pulang kerana asyik dengan kambing-kambingnya dan apabila disedarinya hari sudah mulai gelap. Dia dengan segera membawa pulang kambing-kambingnya. Apabila tiba di rumahnya hari sudah larut malam kerana perjalanan yang jauh. Tanpa membuang masa, dia segera mencari kedua orang tua yang di kasihinya dan alangkah terkejutnya apabila dia mendapati kedua-dua orang tuanya sudah nyenyak tidur. Ra'i segera ke kandang kambing dan terus memerah susu. Di dalam hati dia berkata "Mungkin setelah selesai aku memerah susu, ibu dan ayahku akan bangun dari tidurnya". Apabila susu sudah sedia dihidangkan, ia segera pergi mendapat kedua orang tuanya, tetapi ternyata kedua orang tuanya masih lagi tidur.
Setelah ditunggu-tunggunya ternyata orang tuanya tidak juga bangun. Ra'i mula bimbang dan berfikir di dalam hatinya "Adakah aku harus mengejutkan mereka?" fikirnya lagi "Oh tidak, tidak sopan mengejutkan orang yang sedang tidur". Ia sungguh menyesal kerana terlalu leka dengan kambingnya menyebabkan orang tuanya tidur tanpa sempat minum susu seperti sebelumnya. Tiba-tiba, anak- anaknya terjaga dari tidur dan mereka menangis meminta susu kerana lapar disebabkan mereka tidur sebelum sempat meminum susu. Ra'i tetap mempertahankan bahawa susu tersebut tidak boleh diberikan kepada anak-anaknya sebelum orang tuanya minum terlebih dahulu. Setelah puas memujuk, anak-anaknya tetap tidak mahu berhenti daripada menangis. Diberinya air, tetapi anak-anaknya terus menangis dan tetap mahu minum susu yang telah disediakan untuk orang tuanya.
Walaupun keadaan bising disebabkan tangisan anak-anaknya, kedua-dua orang tuanya tidak juga bangun dari tidur mereka. Ra'i berfikir mungkin Allah hendak menguji kesabarannya dan sejauh mana ketaatannya kepada orang tuanya. Apabila fajar menyinsing barulah ibu bapanya sedar dari tidur mereka dan Ra'i segera menyerahkan susu yang diperahnya pada malam tadi.
Begitulah sifat seorang anak yang soleh dan taat kepada orang tuanya walaupun anaknya sendiri menangis kelaparan ia tetap mempertahankan dan ibu bapa mesti di utamakan.


KISAH TELADAN / NASIHAT : Penyamun Yang Insaf
Kisah ini menceritakan tentang tiga orang penyamun dari bangsa Kurdis yang sentiasa merompak dan mencuri harta benda orang awam tanpa memilih mangsa. Pada suatu hari mereka sedang merancang untuk menyamun satu kabilah pedagang yang akan melalui kawasan itu. Mereka pergi ke satu kawasan untuk menunggu kabilah yang akan melalui kawasan tersebut. Apabila tiba di suatu kawasan, mereka berehat di bawah pokok kurma. Di situ hanya tiga pokok kurma yang hidup dengan subur. Semasa mereka sedang berehat di bawah pokok kurma sementara menunggu masa yang sesuai untuk melakukan rompakan, salah seorang dari mereka yang mengetuai kumpulan itu sedang memerhati pokok-pokok kurma tersebut dan mendapati dua daripadanya berbuah dengan lebat dan sedang masak ranum. Semasa memerhati pokok-pokok tersebut dia terpandang kepada seekor burung sedang mengambil buah-buah kurma yang masak daripada salah satu pokok dan membawanya dan mengugurkan buah-buah itu ke atas pokok kurma yang tidak berbuah.
Pada mulanya dia tidak memperdulikan apa yang berlaku, tetapi setelah lama memerhati, burung itu asik berulang alik dari pokok yang berbuah dan memjatuhkan buah yang dibawanya keatas pokok yang tidak mempunyai buah. Ia merasa curiga dan berfikir kenapa burung itu asyik membawa buah kurma kepada pokok yang tidak berbuah itu. Ia bangkit dari tempat istirahat dan berjalan menuju kepada pokok itu untuk mengetahui apa yang sebenarnya berlaku. Ia mengambil keputusan untuk memanjat pokok kurma itu. Setelah sampai ke puncak kurma tersebut alangkah terkejutnya dia apabila melihat ada seekor ular besar yang sedang berlekar di salah satu pelepah kurma itu nasib baik ia tidak terjatuh disebabkan terkejut kepada ular itu.
Dengan perlahan lahan ia bergerak untuk mencari posisi yang sesuai supaya ular tersebut tidak melihatnya. Ia mendapati ular itu akan membuka mulutnya dengan luas apabila mendengar atau mengesan sesuatu yang menghampirinya. Setelah mengamati ia mendapati bahawa ular itu sebenarnya buta tidak dapat melihat. sebab itu ia membuka mulut apabila mengesan sesuatu. Ketua penyamun tersebut berada di atas pokok kurma itu agak lama juga sehingga dia sempat mengira burung itu terbang ulang alik berbelas kali dan menjatuhkan buah kurma ke mulut ular itu. Ia mula berfikir alangkah mulianya seekor burung sanggup menolong seekor ular walaupun burung itu mengetahui bahawa ular itu sentiasa mengganas kepada burung-burung. Dengan tidak disedari air matanya telah menitis melihat peristiwa itu.
Ketua penyamun mulai sedar di atas sikapnya yang suka menyamun dan merompak harta orang lain yang tidak berdosa. Dia berfikir serta berkata didalam hantinya "Kenapakah aku tidak berbuat baik kepada orang yang susah seperti yang dilakukan oleh burung itu". Ketua penyamun itu mulai menyesali di atas perbuatan nya, lalu berkata "Ya Allah, Ya Tuhanku, Aku kini telah bertaubat kepada mu dan aku tidak akan mengulangi lagi perbuatan ku, aku berjanji akan ku kembali kepada Mu".
Ketua penyamun itu mematah-matahkan pedangnya dan menaburkan tanah ke atas kepalanya sambit menjerit dengan kuat "Ya Allah hapuskan lah dosaku dan padamkanlah kesalahanku" Pada saat itu juga kedengaran suara menyatakan "Hai hamba yang memohon kehapusan dosa, aku telah hapuskan dosamu". Mendengar jawapan suara tersebut ketua penyamun itu merasa lega dan gembira sekali dan berlari-lari kepada kawannya.
Apabila kawan-kawannya melihat ketuanya yang membawa serpihan pedang ditangannya, bertanya salah seorang kawannya "Apakah yang telah terjadi dan kenapakah aku lihat kamu mengangis, selama ini aku tidak pernah melihat kamu menangis malah sentiasa gembira" Ketua penyamun itu menceritakan kepada kawan-kawannya akan peristiwa yang dilihatnya. dan berkata kepada kawan-kawannya "Bertaubatlah kamu dan kembalilah kepada Allah" Kawan-kawannya pun merasa insaf di atas perbuatan.mereka, lalu mematah-matahkan pedang mereka
Mulai dari saat itu mereka bersepakat untuk menuju ke kota Mekkah untuk mempelajari ilmu agama dan mereka bertekad untuk tinggal di sana sehingga akhir hayat mereka. Di dalam perjalanan mereka berhenti rehat seketika di bawah pohon yang rendang untuk menghilangkan penat. Tidak lama kemudian datang seorang wanita tua yang buta lalu berkata "Adakah diantara kamu bernama Fulan bin Fulan dari bangsa kurdis" kata ketua mereka "Ada dan sayalah orangnya". Wanita itu berkata "Anakku baru sahaja meninggal dunia beberapa hari lalu dan meninggalkan pakaian ini" wanita itu menghulurkan pakaian itu kepadanya sambil berkata "Aku bermimpi bahawa Rasulullah s.a.w telah datang kepada ku dan menyuruhku memberikan pakaian ini kepada mu". Ketua kumpulan tadi mengambil pakaian itu dengan perasaan gembira sekali dan mereka beredar dari situ untuk menuju ke Kota Mekkah dan menetap disana untuk mengerjakan amal ibadah sehinngalah mereka menemui ajal mereka di sana.

CERITA RAKYAT / DONGGENG : Seruling Sakti
Pada zaman dahulu terdapat sebuah pekan kecil yang sangat cantik terletak di kaki bukit. Pekan tersebut di kenali Hamelyn. Penduduk di pekan tersebut hidup dengan aman damai, tetapi sikap mereka tidak perihatin terhadap kebersihan. Pekan tersebut penuh dengan sampah sarap. Mereka membuang sampah di merata-rata menyebabkan pekan tersebut menjadi tempat pembiakan tikus. Semakin hari semakin banyak tikus membiak menyebabkan pekan tersebut dipebuhi oleh tikus-tikus.

Tikus-tikus berkeliaran dengan banyaknya dipekan tersebut. Setiap rumah tikus-tikus bergerak bebas tanpa perasaan takut kepada manusia. Penduduk di pekan ini cuba membela kucing untuk menghalau tikus dan ada diantara mereka memasang perangkap tetapi tidak berkesan kerana tikus terlampau banyak. Mereka sungguh susah hati dan mati akal bagaimana untuk menghapuskan tikus-tikus tersebut.

Musibah yang menimpa pekan tersebut telah tersebar luas ke pekan-pekan lain sehinggalah pada suatu hari seorang pemuda yang tidak dikenali datang ke pekan tersebut dan menawarkan khidmatnya untuk menghalau semua tikus dengan syarat penduduk pekan tersebut membayar upah atas kadar dua keping wang mas setiap orang. Penduduk di pekan tersebut berbincang sesama mereka diatas tawaran pemuda tadi. Ada diatara mereka tidak bersetuju oleh kerana mereka tidak sanggup untuk membayar upah yang sangat mahal. Setelah berbincang dengan panjang lebar akhirnya mereka bersetuju untuk membayar upah seperti yang diminta oleh pemuda itu kerana mereka tidak mempunyai pilihan lain.

Keputusan tersebut dimaklumkan kepada pemuda tadi, lalu dia mengeluarkan seruling sakti dan meniupnya. Bunyi yang keluar dari seruling itu sangat merdu dan mengasik sesiapa yang mendengarnya. Tikus-tikus yang berada dimerata tempat didalam pekan tersebut mula keluar dan berkumpul mengelilinginya. Pemuda tadi berjalan perlahan-lahan sambil meniup seruling sakti dan menuju ke sebatang sungai yang jauh dari pekan tersebut. Apabila sampai ditepi sungai pemuda tadi terus masuk kedalamnya dan diikuti oleh semua tikus.Tikus-tikus tadi tidak dapat berenang didalam sungai dan semuanya mati lemas.

Kini pekan Hamelyn telah bebas daripada serangan tikus dan penduduk bersorak dengan gembiranya. Apabila pemuda tadi menuntut janjinya, penduduk tersebut enggan membayar upah yang telah dijanjikan kerana mereka mengangap kerja yang dibuat oleh pemuda tadi tidak sepadan dengan upah yang diminta kerana hanya dengan meniupkan seruling sahaja. Pemuda tadi sangat marah lalu dia menuipkan seruling saktinya sekali lagi. Irama yang keluar dari seruling itu sangat memikat hati kanak-kanak menyebabkan semua kanak-kanak berkumpul di sekelilingnya. Satelah semua kanak-kanak berkumpul pemuda tadi berjalan sambil meniupkan seruling dan diikuti oleh semua kanak-kanak. Pemuda itu membawa kanak-kanak tersebut keluar dari pekan Hamelyn. Setelah Ibu Bapa menyedari bahawa mereka akan kehilangan anak-anak, mereka mulai merasa cemas kerana kanak-kanak telah meninggalkan mereka dan mengikuti pemuda tadi. Mereka mengejar pemuda tadi dan merayu supaya menghentikan daripada meniup seruling dan memulangkan kembali anak-anak mereka. Merka sanggup memberi semua harta benda yamg ada asalkan pemuda tersebut mengembalikan anak-anak mereka.

Rayuan penduduk tidak diendahkan oleh pemuda tadi lalu mereka membawa kanak-kanak tersebut menuju kesuatu tempat dan apabila mereka sampai disitu muncul sebuah gua dengan tiba-tiba. Pemuda tadi mesuk ke dalam gua itu dan diikuti oleh kanak-kanak. Setelah semuanya masuk tiba-tiba gua tersebut gaib dan hilang daripada pandangan penduduk pekan tersebut. Mereka tidak dapat berbuat apa-apa oleh kerana mereka telah memungkiri janji yang mereka buat. Merka menyesal diatas perbuatan mereka tetapi sudah terlambat. Sesal dahulu pendapatan sesal kemudian tidak berguna.

Sehingga hari ini penduduk pekan Hamelyn tidak melupakan kesilapan yang dilalukan oleh nenek moyang mereka. Menepati janji adalah pegangan yang kuat diamalkan oleh penduduk pekan Hamelyn sehingga hari ini.



CERITA RAKYAT / DONGGENG : Ssng Kancil Dengan Buaya
Pada zaman dahulu Sang Kancil adalah merupakan binatang yang paling cerdik di dalam hutan. Banyak binatang-binatang di dalam hutan datang kepadanya untuk meminta pertolongan apabila mereka menghadapi masalah. Walaupun ia menjadi tempat tumpuan binatang- binatang di dalam hutan, tetapi ia tidak menunjukkan sikap yang sombong malah sedia membantu pada bila-bila masa saja.
Suatu hari Sang Kancil berjalan-jalan di dalam hutan untuk mencari makanan. Oleh kerana makanan di sekitar kawasan kediaman telah berkurangan Sang Kancil bercadang untuk mencari di luar kawasan kediamannya. Cuaca pada hari tersebut sangat panas, menyebabkan Sang Kancil berasa dahaga kerana terlalu lama berjalan, lalu ia berusaha mencari sungai yang berdekatan. Setelah meredah hutan akhirnya kancil berjumpa dengan sebatang sungai yang sangat jernih airnya. Tanpa membuang masa Sang Kancil terus minum dengan sepuas-puasnya. Kedinginan air sungai tersebut telah menghilangkan rasa dahaga Sang Kancil.
Kancil terus berjalan-jalan menyusuri tebing sungai, apabila terasa penat ia berehat sebentar di bawah pohon beringin yang sangat rendang di sekitar kawasan tersebut. Kancil berkata didalam hatinya "Aku mesti bersabar jika ingin mendapat makanan yang lazat-lazat". Setelah kepenatannya hilang, Sang Kancil menyusuri tebing sungai tersebut sambil memakan dedaun kegemarannya yang terdapat disekitarnya. Apabila tiba di satu kawasan yang agak lapang, Sang Kancil terpandang kebun buah-buahan yang sedang masak ranum di seberang sungai."Alangkah enaknya jika aku dapat menyeberangi sungai ini dan dapat menikmati buah-buahan tersebut" fikir Sang Kancil.
Sang Kancil terus berfikir mencari akal bagaimana untuk menyeberangi sungai yang sangat dalam lagi deras arusnya. Tiba-tiba Sang Kacil terpandang Sang Buaya yang sedang asyik berjemur di tebing sungai. Sudah menjadi kebiasaan buaya apabila hari panas ia suka berjemur untuk mendapat cahaya matahari.Tanpa berlengah-lengah lagi kancil terus menghampiri buaya yang sedang berjemur lalu berkata " Hai sabahatku Sang Buaya, apa khabar kamu pada hari ini?" buaya yang sedang asyik menikmati cahaya matahari terus membuka mata dan didapati sang kancil yang menegurnya tadi "Khabar baik sahabatku Sang Kancil" sambung buaya lagi "Apakah yang menyebabkan kamu datang ke mari?" jawab Sang Kancil "Aku membawa khabar gembira untuk kamu" mendengar kata-kata Sang Kacil, Sang Buaya tidak sabar lagi ingin mendengar khabar yang dibawa oleh Sang Kancil lalu berkata "Ceritakan kepada ku apakah yang engkau hendak sampaikan".
Kancil berkata "Aku diperintahkan oleh Raja Sulaiman supaya menghitung jumlah buaya yang terdapat di dalam sungai ini kerana Raja Sulaiman ingin memberi hadiah kepada kamu semua". Mendengar saja nama Raja Sulaiman sudah menggerunkan semua binatang kerana Nabi Sulaiman telah diberi kebesaran oleh Allah untuk memerintah semua makhluk di muka bumi ini. "Baiklah, kamu tunggu di sini, aku akan turun kedasar sungai untuk memanggil semua kawan aku" kata Sang Buaya. Sementara itu Sang Kancil sudah berangan-angan untuk menikmati buah-buahan. Tidak lama kemudian semua buaya yang berada di dasar sungai berkumpul di tebing sungai. Sang Kancil berkata "Hai buaya sekelian, aku telah diperintahkan oleh Nabi Saulaiman supaya menghitung jumlah kamu semua kerana Nabi Sulaiman akan memberi hadiah yang istimewa pada hari ini". Kata kancil lagi "Beraturlah kamu merentasi sungai bermula daripada tebing sebelah sini sehingga ke tebing sebelah sana".
Oleh kerana perintah tersebut adalah datangnya daripada Nabi Sulaiman semua buaya segera beratur tanpa membantah. Kata Buaya tadi "Sekarang hitunglah, kami sudah bersedia" Sang Kancil mengambil sepotong kayu yang berada di situ lalu melompat ke atas buaya yang pertama di tepi sungai dan ia mula menghitung dengan menyebut "Satu dua tiga lekuk, jantan betina aku ketuk" sambil mengetuk kepala buaya begitulah sehingga kancil berjaya menyeberangi sungai. Apabila sampai ditebing sana kancil terus melompat ke atas tebing sungai sambil bersorak kegembiraan dan berkata" Hai buaya-buaya sekalian, tahukah kamu bahawa aku telah menipu kamu semua dan tidak ada hadiah yang akan diberikan oleh Nabi Sulaiman".
Mendengar kata-kata Sang Kancil semua buaya berasa marah dan malu kerana mereka telah di tipu oleh kancil. Mereka bersumpah dan tidak akan melepaskan Sang Kancil apabila bertemu pada masa akan datang. Dendam buaya tersebut terus membara sehingga hari ini. Sementara itu Sang Kancil terus melompat kegembiraan dan terus meniggalkan buaya-buaya tersebut dan terus menghilangkan diri di dalam kebun buah-buahan untuk menikmati buah-buahan yang sedang masak ranum itu.

No comments:

Post a Comment